Penghantaran Pertama Vaksin Covid-19

1. Berita melaporkan hari ini bahawa penghantaran pertama vaksin Covid-19 akan tiba di Malaysia pada penghujung bulan ini. Seperti yang saya tulis bulan lepas, vaksinasi Covid-19 adalah jalan terbaik yang dilihat mampu memberi perlindungan untuk melawan virus ini dari terus menular dan seterusnya dapat memutuskan rantaian jangkitan.

2. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata kelmarin bahawa orang ramai perlu mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 bermula Mac ini bagi mengelakkan kesesakan serta pembaziran. 

3. Kita harus menunggu pengumuman Kerajaan seterusnya berhubung perkara ini. Sementara itu, carilah sumber-sumber berita yang sahih tentang vaksin Covid-19 ini. Ikutilah perkembangan semasa tentang Program Imunisasi Kebangsaan di laman web rasmi KKM di http://covid-19.moh.gov.my/vaksin-covid-19

4. Pada waktu kita sedang dibelenggu kebimbangan seperti sekarang, penyebaran berita-berita palsu atau tidak tepat akan membawa panik dan kemudaratan dalam kita memerangi wabak ini.

5. Dengan jumlah kes terkumpul sebanyak 51,217 setakat 13 Februari, Sabah kini adalah negeri kedua paling teruk diancam Covid-19 selepas Selangor. Awal Januari lepas kita mencatat antara 200 hingga 400 kes baharu setiap hari, dan mempunyai jumlah kes terkumpul yang paling tinggi sekali.

6. Tujuh hari kebelakangan ini menunjukkan trend penurunan jumlah jangkitan di Sabah.

Kita rasa sedikit lega dengan penurunan ini, namun kita tidak boleh terlalu bergembira kerana kita masih lagi diancam Covid-19 dan pakar-pakar kesihatan turut menasihati agar kita tidak berasa terlalu selamat.

7. Ketibaan vaksin bukanlah bermaksud kita akan terus bebas dan pulih daripada Covid-19. Sekurang-kurangnya 70% rakyat perlu diberi vaksin bagi mencapai imuniti kelompok, yang bermaksud baki 30% rakyat turut terlindung jika 70% rakyat mempunyai perlindungan vaksin. Ini adalah proses yang akan memakan masa, maka kita tidak boleh mengambil sikap sambil lewa tentang bahaya wabak ini.

8. Penurunan jumlah kes baharu dan ketibaan vaksin hanyalah langkah pertama dalam proses pemulihan sepenuhnya daripada wabak Covid-19. Kekalkan amalan penjagaan kebersihan, kesihatan dan keselamatan diri seperti yang kita telah amalkan sejak tahun lepas.

9. Letakkan kepercayaan kepada Pelan Imunisasi Kebangsaan yang telah dirancang secara terperinci dengan data, matlumat dan usahasama daripada seluruh dunia. Kita perlu menangkis persepsi negatif terhadap vaksin kerana bukti-bukti klinikal mengesahkan ia tidak memberi kesan sampingan yang buruk kepada jutaan penerima di seluruh dunia.

10. Saya yakin Kerajaan GRS akan memberikan komitmen dan kerjasama erat bersama Kerajaan Persekutuan dalam memastikan Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 mencapai matlamatnya di Sabah, dan di seluruh negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *