Sinar Baharu Dalam Perang Melawan Covid-19

1. Pagi kelmarin, sejumlah 312,390 dos vaksin keluaran Pfizer-BioNTech telah selamat tiba di Malaysia. Ketibaan vaksin ini disambut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

2. Kita menyambut gembira ketibaan vaksin ini kerana ia adalah detik bersejarah yang memberi sinar baharu dalam usaha kita melawan wabak Covid-19 daripada terus merebak, seterusnya memulihkan ekonomi negara yang terjejas teruk.

3. Dengan ketibaan pertama ini, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan bermula pada 26 Februari ini. Program ini meliputi tiga fasa, di mana fasa pertama membabitkan petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan, dengan program imunisasi dijadualkan tamat pada April.

4. Fasa kedua pula membabitkan kumpulan berisiko tinggi termasuk warga emas dan golongan rentan berusia 60 tahun ke atas, yang mengalami masalah penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi. Fasa kedua bermula April hingga Ogos ini dan akan memanfaatkan sejumlah  9.4 juta rakyat.

5. Fasa ketiga membabitkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas. Ia bermula Mei hingga Februari 2022, dan fasa inilah yang diharapkan untuk membentuk imuniti kelompok yang dapat mengawal pandemik secara menyeluruh. Insya-Allah sekiranya semua berjalan lancar, program ini dijangka meliputi lebih 80% atau hampir 27 juta rakyat menjelang suku pertama 2022.

6. Untuk Sabah, kita menyasarkan kira-kira 3 juta rakyat untuk menerima vaksin ini menjelang Februari tahun hadapan. Sama seperti negeri lain, fasa pertama program ini turut akan bermula 26 Februari ini sehingga April. Ikutilah pengumuman dari Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkenaan pelaksanaan program imunisasi ini.

7. Setakat ini terdapat lima kaedah untuk mendaftar sebagai penerima vaksin iaitu melalui aplikasi MySejahtera, laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19, talian hotline, pendaftaran secara manual di klinik dan hospital awam serta swasta dan kerjasama dengan kerajaan negeri untuk mendaftarkan penerima termasuk warga emas.

8. Proses ini memerlukan kerjasama dan muafakat dari semua pihak iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, agensi-agensi kerajaan, pembangkang, ketua-ketua kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK)  dan tentu sekali rakyat Sabah. Inilah masanya kita tunjukkan kesatuan dan perpaduan kita dan ketepikan perbezaan politik demi memastikan kita akhirnya selamat dan pulih daripada bencana ini.

9. Saya sebagai ADUN Usukan akan memberikan sepenuh komitmen, kerjasama dan bantuan agar program ini memanfaatkan penduduk Usukan. Selain daripada membantu Majlis Keselamatan Negara mendapatkan senarai pendaftaran penerima vaksin dalam fasa kedua dan ketiga, kita juga menerusi SSK Centre akan membantu penduduk dari segi penyampaian maklumat terkini sehinggalah bantuan logistik untuk membawa penduduk yang memerlukan ke pusat-pusat penerimaan vaksin.

10. Kita berdoa agar semuanya berjalan lancar dan akhirnya kita semua bebas daripada wabak ini dan dapat segera memulihkan ekonomi. Kita semua perlu #TerusMelangkah ke masa hadapan yang menjamin kesejahteraan hidup kita semua, insya-Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *